“Berdakwah melalui blog” demikian tajuk ceramah yang diamanahkan kepada saya.
Fakulti Teknologi dan Sains Informasi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menganjurkan ceramah berkaitan dengan dua lapangan iaitu DAKWAH dan TEKNOLOGI MAKLUMAT. Saya sebenarnya agak kekok tatkala menerima jemputan berceramah tentang blog. Sebagaimana saya masih lagi berasa kekok digelar sebagai blogger.
Tetapi jemputan ini merupakan peluang yang baik untuk saya membuat muhasabah terhadap apa yang saya lakukan selama ini. Sesungguhnya dakwah bukan sekadar menyampaikan. Sebaliknya tanggungjawab menguruskan dakwah juga sama penting. Soal dokumentasi, adalah penting agar usaha dakwah seorang da’ie tidak mati dengan matinya dia. Ceramah ini membantu saya mendokumentasikan sejarah perjalanan SAIFULISLAM.COM
Berdakwah dengan hikmah itu luas pengertiannya. Namun hikmah yang penting untuk dikaitkan dengan topik berdakwah melalui blog ini, adalah hikmah yang bermaksud ketepatan. Tepat kaedah dan tepat sasaran. Bukan sahaja perniagaan yang memencilkan internet akan kerugian besar pada pelanggannya yang berpotensi, malah pada jalur yang sama, dakwah juga akan terpencil dengan memencilkan internet.
Berdakwah melalui blog adalah response yang dituntut bagi mendepani challenge yang sedang dihadapi semasa. Ia adalah suatu tindakan proaktif.
Ada beberapa tabiat sedia ada pada diri saya yang banyak memberikan kemudahan untuk berblog. Semenjak di bangku sekolah, minat kepada komputer sangat tinggi. Ketika di Tingkatan 1, saya bersungguh-sungguh cuba belajar Basic Awalan, belajar menggunakan Wordstar dan seterusnya tidak pernah jemu menongkat dagu di bilik komputer sekolah dari malam hingga ke subuh untuk mencetak majalah sekolah dengan mesin cetak yang amat bising dan mengilukan ketika itu.
Malah semasa di Jordan, biar pun tanpa internet, saya sudah selesa untuk duduk mengadap komputer mempeghodi (meneroka sambil ‘merosakkan) kedua-dua aspek software dan hardware komputer Macintosh Performa milik teman-teman. Pernah juga berniaga memasang komputer secara ala carte untuk pelajar semasa bermastautin di UK, Tottenham Court Road adalah ‘syurga dunia’ saya.
Manakala menulis pula, adalah cara saya menghilangkan kusut minda. Saya tidak boleh membaca nota orang lain. Apa sahaja yang dipelajari perlu dinotakan sendiri dan menulis sentiasa menjadi cara saya untuk menyusun kefahaman saya tentang sesuatu subjek dan topik. Kombinasi di antara tabiat menulis untuk menterjemahkan minda, dan komputer sebagai suatu perkara yang amat digemari, maka momentum untuk blog menjadi mudah dan seperti semulajadi.
Bermain-main dengan coding di era Basic Awalan dan DOS, menjadikan aplikasi HTML sangat menghiburkan. Saya memulakan penulisan di internet dengan gurau senda saya bersama html yang di suatu ketika belum muncul dalam bentuk template. Segala-galanya bermula dari kosong dan usaha untuk mengemaskinikan halaman web peribadi boleh menelan masa berjam-jam akibat daripada nature kod HTML itu sendiri.
Blog saifulislam.com beroleh suatu kemudahan yang amat besar apabila saya diperkenalkan oleh seorang sahabat dengan platform WordPress. Biar pun di peringkat awal saya agak sinikal dengan idea-idea baru, rasa kekok melihat blog-blog yang kelihatannya seperti sebuah diari, namun saya beranikan sahaja diri untuk mencuba. Ternyata, wordpress telah memberikan satu bentuk revolusi yang besar kepada saifulislam.com.
Artikel pertama yang saya muat naik, adalah PEMBUKAAN KOTA CONSTANTINOPLE 1453 di halaman web pertama saya yang menumpang di TRIPOD. Dalam usaha untuk mencari hosting percuma yang tidak terlalu diganggu oleh iklan di sana sini, saya berpindah dari TRIPOD ke GEOCITIES, pernah juga ke FREEHOSTDEPARTMENT dan satu dua syarikat hosting yang lain. Sehinggalah akhirnya, saya menulis artikel “NASYID KONTEMPORARI YANG MEMATIKAN SEMANGAT JUANG”, dan mahu mengenengahkan fail mp3 nasyid-nasyid kumpulan nasyid kami semasa menuntut di Jordan dulu, lalu saya telah berpindah ke server berbayar pertama di www.hostdepartment.com.
Ketika itu, halaman web peribadi saya dialamatkan dengan domain www.hasrizal.com dan ia bertahan selama kira-kira setahun, sehinggalah saya semakin menerima soalan daripada teman-teman bukan Melayu yang bertanyakan tentang maksud HASRIZAL. Akhirnya, selepas kelahiran anak sulung saya, www.hasrizal.com ditukarkan ke www.saifulislam.com sehingga kini.
Domain www.hasrizal.com masih disimpan dan diperbaharui sehinggalah dua atau tiga tahun kemudian saya terlupa untuk memperbaharui domain itu, dan ia expired. Kini domain itu dipegang oleh sebuah syarikat pendaftar dan saya ditawarkan untuk membeli kembali domain tersebut dengan harga beberapa ribu US Dollar! Nasihat saya kepada sesiapa yang mahu mendaftar domain, anda perlu konsisten menjaganya. Sekali terlepas, terlepaslah ia.
“Berblog kerana terpaksa, terseksa!” saya menyelitkan penerangan.
“Berblog untuk menerima, terima duit, terima pengunjung, terima manfaat, lebih bagus dan boleh fokus. Tapi ia belum cukup bagus,” saya menambah lagi.
“Berblog untuk memberi, mencari makna hidup dengan menyumbangkan kebaikan dan nasihat serta panduan… itulah kemuncak kepuasan dalam berblog. Justeru saya pilih tag blog Saifulislam.Com sebagai ERTI HIDUP PADA MEMBERI” saya menyambung bicara.
“Dengan syarat, memberi itu dengan rasa kasih sayang,” penerangan disudahkan.
Nilaikanlah sendiri apa motif atau niat anda untuk membuka blog. Apakah kerana terpaksa disebabkan oleh trend rakan-rakan yang membuka blog? Apakah sekadar memikirkan apa manfaat yang mahu diterima, dengan membuka 100 blog yang hanya mempunyai iklan untuk menjana duit? Atau ada sesuatu yang lebih besar daripada semua itu? Mahu MEMBERI?
Membuka blog dan memulakannya amat mudah. Semudah membuka akaun email. Jika seseorang itu boleh menggunakan Microsoft Word, pasti mengendalikan wordpress.com atau blogspot.com tidak menjadi masalah buatnya.
Tetapi persoalan yang besar ialah pada istiqamah. Konsistensi yang mahu dipertahankan dalam perjalanan yang panjang. Alhamdulillah setelah lebih 10 tahun memilik halaman web sendiri, daripada sebuah personal website kepada apa yang dinamakan hari ini sebagai BLOG, beberapa nasihat boleh dikongsikan bersama untuk mencari kekuatan yang didambakan oleh seorang penulis.
Salah satu unsur penting untuk kejayaan sebuah blog ialah pada menjadikannya sebuah blog yang unik dan tersendiri. Keunikan itu sukar untuk timbul jika kita sekadar cut and paste artikel daripada halaman lain atau sekadar menulis pengetahuan yang kita tahu. Keunikan boleh timbul daripada sesuatu yang hanya dimiliki secara eksklusif oleh setiap individu seperti cap jarinya iaitulah sebuah PENGALAMAN.
Banyakkan menyelitkan pengalaman diri kerana itulah elemen yang menjadikan blog kita tidak sama dengan mana-mana blog lain. Angkat pengalaman itu sebagai mutiara yang berharga dalam hidup, dan latihlah diri untuk berupaya menafsirkan pengalaman hidup hingga terbit ibrah daripadanya.
Tidak dilupakan, aspek kualiti bahasa.
Menulis dengan bahasa yang korupsi, bukan sahaja akan menjadikan sebuah blog tidak diminati oleh kelompok yang tidak berbahasa dengan slanga yang sedemikian rupa, malah penulis blog itu sendiri akan mual membaca catatannya semasa mendukung anak ketiga sambil menyelak arkib.
Kualiti bahasa itu adalah kadar nyawa bagai upaya malar segar sesebuah blog dan artikel yang dihasilkan.
Tentu sekali, faktor paling besar ialah pada membawa keluarga untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada blog kita.
Daripada sesuatu yang dianggap mencuri masa oleh sang isteri, saya tidak jemu-jemu untuk mengubah suai persepsi isteri dan keluarga hingga akhirnya blog saifulislam.com menjadi wadah untuk kami berdua merakamkan proses belajar dan mengajar dalam rumahtangga sendiri, dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan keluarga Saifulislam.Com.
Syukur, dalam tatih, akhirnya UMMUSAIF.COM juga muncul dengan identitinya yang tersendiri.
Komen bukan sebarang komen. Ia adalah sama berharga dan sama berguna di sisi artikel induk yang dipaparkan.
Justeru saya amat serius dalam usaha menjaga hala tuju dan bentuk komen yang dikongsi bersama oleh pembaca. Setiap satu komen dihargai. Kecuali komen yang tidak menghormati tajuk perbincangan asal, serta komen yang diungkap dengan bahasa yang tidak berakhlaq.
Semua itu terpaksa dibersihkan agar blog yang bakal saya wariskan kepada anak-anak ini, tidak mengandungi wabak penyakit yang mengundang dosa.
Terima kasih kepada SEMUA pembaca yang sudi berkongsi. Sharing is caring, amat besar pengertiannya di Saifulislam.Com
Dua orang mentor besar saya, telah memberikan impak yang sangat signifikan kepada fikiran, pendekatan dakwah dan seterusnya tulisan saya sendiri.
Mentor pertama adalah Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, sifu saya semasa bertugas di Fitrah Perkasa Sdn Bhd. Bekerja sebagai penolong pengarah kepada bahagian penyelidikan dan modul, saya bekerja di bawah panduan Ustaz Pahrol, dan beliau yang kaya dengan pengalaman dakwah serta ketajaman minda, mengasah segala apa yang saya ada agar berhasil menjadi suatu pakej dakwah yang baik.
Beliau memperkenalkan saya kepada kaedah beranalogi. Beliau juga meyakinkan saya kepada kuasa simplicity di dalam ilmu dan penyampaian. Ustaz Pahrol membantu saya membaca buku-buku self help Barat dan yang paling utama, beliau mengubah 100% persepsi saya terhadap apa yang dinamakan sebagai MOTIVASI.
Mentor kedua saya adalah Puan Ainon Mohamad, Sifu PTS.
Biar pun saya hanya berkesempatan hadir ke kursus kendalian beliau sebanyak dua kali, impaknya amat besar kepada diri saya dan seterusnya menyaksikan perubahan kepada penulisan saya di blog Saifulislam.Com.
Pertamanya, Puan Ainon memperkenalkan tool yang sangat berguna untuk penulis seperti saya. Peta minda (mindmap) berbentuk tulang ikan yang diajarnya telah begitu berkesan sekali membantu saya mengingati kembali sejumlah besar peristiwa yang pernah berlaku di dalam hidup ini, dan tidak keterlaluan jika saya katakan, peta minda yang diajar oleh Puan Ainon itu telah memungkinkan saya menghasilkan tidak kurang daripada 100 artikel pada kadar yang segera.
Keduanya, Puan Ainon mengajar saya cara untuk menghidupkan penulisan, iaitu dengan membanyakkan ayat-ayat dialog berbanding ayat naratif yang membosankan.
“Aku mengantuklah,” kata Ahmad.
“Aku pun sama juga. Inilah akibatnya jika sibuk berkempen malam tadi!” balas Ali yang meneman.
Bentuk ayat sebegini adalah jauh lebih menghidupkan penceritaan berbanding sekadar catatan:
“… pagi itu Ahmad dan Ali mengantuk kerana mereka tidak cukup tidur. Semuanya gara-gara sibuk berkempen hingga jauh malam…”
Bukan sahaja Ahmad dan Ali yang mengantuk, malah pembaca juga turut mengantuk sama!
Begitu juga, Puan Ainon meyakinkan saya tentang KUASA CERITA. Sampaikan agama melalui cerita, adalah mesej yang sering beliau tekankan. Biar pun suatu tajuk itu begitu berat isinya, namun cerita akan mampu mengubah mesej berat itu kepada format yang mudah digarap oleh pembaca.
Terakhir, Puan Ainon juga memperkenalkan kepada saya KJ Method, iaitu kaedah menulis yang tidak terikat kepada bentuk lateral yang membantutkan. Lepas Bab 1 baru Bab 2. Jika tersangkut Bab 3, maka sampai kiamatlah tidak muncul Bab 4. Meminjam tabiat turunnya ayat-ayat al-Quran secara rawak bergantung kepada situasi dan peristiwa, demikianlah seorang penulis harus memanfaatkannya.
Tulis sahaja apa yang terlintas di kepala.
Cuma kekalkan kerangka, bahasa dan gaya penyampaian agar semua artikel itu nanti boleh dicantumkan menjadi sebuah buku.
Itulah ramuan di sebalik penghasilan buku pertama saya, AKU TERIMA NIKAHNYA.
Mungkin inilah kemuncaknya.
Setelah halaman web berubah menjadi blog, blog berhasil menjadi buku, akhirnya blog juga menjadi asas karier utama saya hari ini. Penubuhan Saifulislam Training & Consultancy adalah hasil daripada perkembangan blog Saifulislam.Com. Kini, hampir 75% aktiviti dan jemputan yang saya terima, dijana oleh blog dan bagusnya ialah, kesemua ceramah saya, boleh dilanjutkan pembacaan, semakan semula dan pengambilan nota dengan peserta melayari blog Saifulislam.Com.
Blog ini menjadi after course service untuk follow up yang sering menjadi titik kegagalan kursus-kursus motivasi yang lain, apabila kursus yang berkesan tidak dibekalkan dengan bahan susulan yang menyokong perubahan diri yang diserukan kepada manusia.
Setinggi-tinggi penghargaan saya tujukan kepada Al-Fadhil Encik Che Wan Shamsul Bahri bin Che Wan Ahmad dan Encik Khirulnizam Abd Rahman daripada KUIS atas jemputan. Semoga bermanfaat.
Semoga Allah terus menerus mengurniakan daya istiqamah dan kemurniaan maksud di sebalik penghasilan blog ini.
Jangan henti ngeblog… hingga kamu mati.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com (lihat entri asal)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan