Halaman

Memaparkan catatan dengan label Isu dan ICT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu dan ICT. Papar semua catatan

Rabu, 29 Februari 2012

Ledakan Facebook: Antara Dosa dan Pahala - Ustaz Zaharuddin Abd Rahman


Zaman ini, Facebook digunakan di mana sahaja, di rumah, di pejabat, perniagaan kecil, besar, NGO malah kerajaan sesebuah negara juga mengggunakan Facebook. Daripada presiden sebuah negara, perdana menteri, artis sehingga pelajar sekolah sudah mahir menggunakan Facebook.

Cuma ada segelintir golongan yang masih kurang menggunakan Facebook. Antara hujah yang diberikan:

· Facebook adalah agenda Yahudi yang cuba menyesatkan umat Islam.

· Facebook ejen CIA. Facebook melalaikan.

· Facebook mendedahkan diri kepada zina.

· Facebook mendedahkan aib diri sendiri.

· Dan banyak lagi

Benarkan dakwaan begitu? Benarkah Facebook haram digunakan oleh umat Islam. Dr. Zaharuddin Abd Rahman menjawab persoalan ini dengan penuh hikmah dan rasional.

BAHAGIAN 1

FACEBOOK: KE SYURGA ATAUPUN NERAKA? 1

BAB 1: Hukum Facebook dan Blog 3

BAB 2: Dosa-Dosa dan Facebook 13

BAB 3: Facebook Menjadi Tempat Promosi Maksiat dan Buka Aib Sendiri 23

BAB 4: Panduan Berblog dan Facebook 31

BAB 5: Blog dan Facebook Perantara Ulama dan Rakyat 39

BAB 6: Kaedah Mengambil Manfaat Daripada Facebook, Ceramah, dan

Blog Ilmuwan 51

BAB 7: Fenomena Puji, Ampu, dan Bodek di Facebook 55

BAHAGIAN 2

KONGSI STATUS FACEBOOK BERHIKMAH 67

BAB 8: Akidah 69

BAB 9: Ibadah 81

BAB 10: Bersih Jiwa 92

BAB 11: Keluarga dan Rumah Tangga 113

BAB 12: Lelaki dan Wanita 121

BAB 13: Motivasi 131

BAB 14: Hari Raya 161

BAB 15: English 165


Boleh dapatkan buku ini secara online di : http://www.bookcafe.com.my/en/umum/ledakan-facebook-antara-dosa-dan-pahala-en.html


Ahad, 9 Oktober 2011

60,000 Pelajar Kita Ketagih Facebook


Oleh Norakmah Mat Youb

Remaja habiskan masa 4 jam sehari layari internet, kerap menipu, antisosial

 

KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun di negara ini dikesan menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam sehari melayari internet terutama laman sosial Facebook (FB).

Ketagihan terhadap internet terutama FB itu menyebabkan pelajar terbabit kerap menipu, mencuri, antisosial dan berubah menjadi seorang yang pemarah sekiranya keinginan mereka tidak dapat dipenuhi.

Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial. Mohd Fadzil Che Din, Pengarah Institut Sosial Malaysia

Selain itu, golongan itu dikatakan mudah menghidapi penyakit seperti pening, masalah penglihatan dan sakit perut berikutan tindakan mereka mengurangkan masa tidur dan rehat yang mencukupi.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata ketagihan remaja melayari laman web itu semakin serius sehingga sanggup bertindak ganas sekiranya dihalang menggunakan kemudahan online.

“Remaja yang ketagih internet itu sanggup ponteng sekolah sekiranya di rumah mereka tiada komputer. Jika duit poket tidak cukup, mereka sanggup mencuri, asalkan dapat mengunjungi siber kafe,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
 

Mohd Fadzil berkata, melayari internet kini menjadi sebahagian kehidupan harian mereka dan sering berasakan seolah-olah hidup sunyi jika tidak berinteraksi dengan rakan FB.

“Mereka berasa lebih selesa dan selamat untuk berkomunikasi melalui internet sekali gus membantutkan perkembangan interaksi terus sesama manusia,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan golongan ketagih laman web itu seperti ketagihan dadah yang sukar untuk diubati kerana ia satu cara membantunya bersosial.

Katanya, terdapat juga kes sesetengah golongan muda yang lebih rela berhenti kerja daripada mengurangkan masa mereka dengan melayari laman sosial itu sekiranya diberi pilihan.

“Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial,” katanya.
 

Pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Zain, berkata ketagihan melayari laman sosial boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental yang melampau.

Beliau berkata, ia turut mengganggu jam biologi pelajar sehingga menyebabkan hormon terganggu, sistem ketahanan badan kurang selain memberi kesan kepada mental.
 

“Apabila masa yang sepatutnya untuk rehat digunakan melayari internet, ia menyebabkan pelajar itu letih fizikal dan mental sekali gus tumpuan belajar berkurangan,” katanya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, berkata tumpuan terlalu lama terhadap internet akan menyebabkan pelajar lebih suka menyendiri.

Beliau berkata, mereka juga bersifat individualistik selain mudah terdorong untuk melayari laman lucah kerana bahan itu mudah didapati dan boleh dimuat turun dengan hanya menggunakan telefon bimbit.

 

Khamis, 3 Februari 2011

Krisis Mesir Bukti Pentingnya Internet Masa Kini

Akibat Memotong Internet: Mesir Rugi USD90 Juta Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi

90 مليون دولار هي تكلفة قطع الانترنت حسب منظمة التعاون والتنمية الاقتصادية

Menurut Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan yang berpusat di Paris, hari Khamis, dalam laporan awal mereka bahawa ekonomi Mesir telah kerugian kos sekitar 90 juta dollar ($ 90,000,000) kesan perkhidmatan internet dan laman rangkaian sosial dipotong selama lima hari. Tambahnya, perkhidmatan yang tergendala merupakan 3% hingga 4% dari jumlah keseluruhan KDNK negara.

Dijangkakan kesan ekonominya mungkin lebih besar dalam jangka masa panjang. Organisasi ini menunjukkan dalam sebuah kenyataan ringkas bahawa, "Perkhidmatan yang tergendala (komunikasi dan internet) merupakan 3% hingga 4% dari KDNK, mewakili kehilangan kos sekitar 18 juta dollar sehari."

Perkhidmatan talian internet mula pulih sebahagiannya pada hari Rabu selepas dipotong selama lebih dari lima hari oleh kerajaan Presiden Mesir, Hosni Mubarak, yang menghadapi gerakan protes rakyatnya secara besar-besaran yang belum pernah terjadi sebelum ini dalam tempoh 30 tahun beliau berkuasa.

* Sumber asal di sini.

Rabu, 19 Januari 2011

Facebook Ditutup?


Tanggal 15 Mac 2011, satu tarikh yang dibimbangi oleh sebahagian besar daripada lebih 600 juta penduduk di seluruh dunia.

Masakan tidak apabila dunia kini sedang hangat memperkatakan mengenai laman sosial paling popular Facebook kononnya akan menamatkan riwayatnya pada hari tersebut.

Semuanya bermula daripada laporan akhbar Weekly World News kononnya pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, 27, sedang berhadapan dengan tekanan untuk menguruskan laman web itu.

Zuckerberg dilaporkan berkata, laman sosial itu sudah di luar kawalan beliau sehingga memberikan tekanan dalam menguruskan syarikat dan mengganggu kehidupannya.

“Saya perlu menghentikannya bagi mengelakkan tekanan ini,” katanya pada sidang media di luar pejabatnya di Palo Alto baru-baru ini.

Dakwaan itu berlarutan apabila Zuckerberg dikatakan dalam satu temuramah menerusi telefon berkata, secara peribadi beliau tidak menganggap bahawa penutupan Facebook itu adalah satu keputusan besar.

“Secara jujur, ia (menutup Facebook) adalah untuk kebaikan. Tanpanya, orang ramai akan keluar dan berjumpa dengan rakan-rakan. Itu adalah lebih baik.

“Saya tidak kisah mengenai wang. Saya hanya mahu kehidupan saya semula,” Zuckerberg dipetik sebagai berkata sehingga membimbangkan pengguna Facebook di seluruh dunia.

Naib Presiden Perhubungan Teknikal Facebook, Avrat Humarthi dalam satu laporan lain pula dipetik berkata bahawa pengguna tidak lagi dapat memasuki Facebook pada 15 Mac ini.

“Seluruh laman web ini akan ditutup pada tarikh itu. Jika anda tidak mahu gambar-gambar di Facebook hilang, saya menasihatkan supaya anda menyimpannya sebelum laman itu ditutup,” jelas Avrat.

Sehubungan itu, Facebook mencadangkan penggunanya supaya memindahkan semua maklumat peribadi daripada laman web itu sebelum 15 Mac.


Kenyataan Kumpulan Data Facebook dalam profailnya yang memaklumkan bahawa tiada memo setakat ini bahawa laman sosial itu akan ditutup pada 15 Mac.


Selepas tarikh tersebut semua gambar, nota, pautan dan video di laman sosial berkenaan akan dipadamkan selama-lamanya.

Satu lagi fenomena

Jika hendak diikutkan banyak khabar angin memperkatakan tentang Facebook akan ditutup termasuk perdebatan mengenainya, sekurang-kurangnya sejak setahun lalu.

Wujud satu kumpulan dengan beraninya menubuhkan akaun di dalam Facebook sendiri yang dinamakan Shut Down Facebook (tutup Facebook).

Kumpulan itu menyediakan petisyen bagi memboikot Facebook namun akaun tersebut tidak aktif dan hanya mampu menarik perhatian kira-kira 200 orang ahli.

Pun begitu, penutupan Facebook pada 15 Mac ini terus menjadi sebutan yang dilihat sekadar khabar angin kerana masih belum ada kenyataan rasmi mengenainya.

Penafian daripada Kumpulan Data Facebook sedikit sebanyak menjawab persoalan dan kebimbangan sebahagian daripada lebih 600 juta pengguna laman sosial itu.

“Kami tidak mendapat memo untuk menutup (Facebook) maka kami akan terus bekerja seperti selalu. Kami tidak ke mana-mana kerana kami baru hendak bermula,” kenyataan mereka yang menarik perhatian lebih 71,550 pengguna dan 13,188 komen.

Kenyataan tersebut barangkali menggembirakan pengikut setia laman sosial itu namun belum diketahui selama mana tempoh perkhabaran itu dan kesahihannya.

Jika anda menaip perkataan ‘Facebook will shutdown’ (Facebook akan ditutup) di enjin carian Google yang menyaksikan lebih 35 juta butiran berkaitan.

Banyak kontroversi lain membabitkan Facebook sehingga ia dikenakan sekatan akses di beberapa negara seperti Pakistan, Vietnam, Uzbekistan, Syria dan Bangladesh.

Satu lagi laman web sosial menyerupai Facebook diperkenalkan bagi mewujudkan kesejahteraan hidup orang Muslim tanpa sebarang penghinaan ke atas Islam.

Sekumpulan rakyat Pakistan membinanya dengan nama Millatfacebook pada Mei tahun lalu selepas salah seorang pengguna Facebook menganjurkan satu pertandingan ‘Hari Melukis Gambar Nabi Muhammad’.

Paling popular

Tidak dinafikan antara pengguna Facebook sudah ketagih, sanggup menghabiskan masa berjam-jam melayani kepuasan dan keseronokan dengan laman sosial itu.

Facebook bukanlah satu-satunya laman sosial kerana terdapat juga yang lain seperti Friendster dan Myspace, masing-masing ditubuhkan pada 2002 dan 2003.

Namun kelahiran Facebook pada 2004 telah mencetuskan nadi baru dalam jaringan sosial maya sehingga berjaya menarik minat pengguna Friendster dan Myspace.

Keputusan Zuckerberg untuk menutup Facebook pada 15 Mac ini masih menjadi tanda tanya di kalangan pengguna laman sosial itu.

Zuckerberg selaku pengasas Facebook sudah pun menyuarakan bahawa beliau tidak kisah tentang wang meskipun laman sosial itu adalah aset paling bernilai.

Facebook kini bernilai 32 bilion pound (RM153.98 bilion) menjadikan kedudukan beliau meningkat daripada tangga 212 ke 40 dalam senarai bilionair Forbes.

Populariti Facebook turut diangkat sebagai kisah di layar perak yang bertajuk Social Network pada tahun lalu arahan David Fincher.

Facebook juga mencetuskan fenomena di Malaysia apabila menjadi laman web paling popular di negara ini pada bulan Disember lalu.

Berdasarkan rekod Persatuan Digital Malaysia (MDA), ia menduduki tangga pertama disusuli laman web antarabangsa lain seperti Yahoo, Google, YouTube dan MSN.

Kedudukan 30 laman web antarabangsa paling popular di Malaysia turut menyenaraikan beberapa laman web sosial lain iaitu Tagged (11), Myspace (18) dan Friendster (20).

Kini terdapat lebih 7.5 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia menjadikan kedudukannya negara ke-16 pengguna Facebook paling aktif di dunia.

Namun bagaimana dengan nasib dan reaksi mereka selepas Facebook ditutup?

Nantikan kebenaran gimik paling popular di dunia menjelang 15 Mac ini. Dunia akan menyaksikan taktik paling berjaya Facebook dalam usahanya menaikkan lagi rating popularitinya.

- MSTAR