Halaman

Rabu, 19 Januari 2011

E-Khidmat Mudahkan Kehidupan


Mengisi borang dan kemudian berbaris panjang untuk membuat pembayaran mengingatkan orang ramai pada kerenah lumrah perkhidmatan kaunter. Ia sesuatu yang memang tidak disukai oleh rakyat Malaysia.

Sedekad yang lalu, mereka tidak mempunyai pilihan selain berbaris atau menunggu nombor giliran mereka dipanggil apabila menjalani urusan seperti permohonan MyKad, pasport malah untuk membayar bil telefon, elektrik dan air.

Jika membabitkan pelbagai transaksi, bermulalah ‘lawatan’ tambahan dari kaunter ke kaunter.

Kini, semua itu telah berubah dan orang ramai boleh berterima kasih kepada konsep e-Khidmat. Sebarang urusan berkaitan sudah boleh dilakukan dalam keselesaan suasana kediaman atau pejabat.

Hari ini, Internet banyak membantu kita dalam mempertingkat gaya hidup dan kualiti kehidupan.

Sejak diperkenalkan di Eropah pada lewat 1980-an, aplikasi e-Khidmat membawa aspirasi kepada pelbagai pertubuhan untuk menawarkan pendekatan tambah nilai bagi memuaskan hati pelanggan.

Konsep ini merupakan satu ciri mesti ada bagi pembekal khidmat dalam pelbagai industri. Pertubuhan, sama ada besar atau kecil, telah membuat pelaburan besar untuk memastikan pelanggan mendapat khidmat maya terbaik.

Gelombang e-Khidmat telah merebak merentasi seluruh dunia sejak kerajaan Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan dengan rasmi konsep e-Kerajaan pada 1993.

Urusan perbankan

Pada 2010, kajian e-Kerajaan yang dijalankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyenaraikan Malaysia di tangga kedua daripada 11 negara Asia Tenggara dalam Indeks Pembangunan e-Kerajaan.

Selain Malaysia, Singapura berada di tangga pertama dan Brunei di tangga ketiga dalam tawaran e-Kerajaan di Asia Tenggara. Kebanyakan negara telah menambah baik kedudukan senarai global masing-masing termasuk Malaysia yang telah meningkat naik ke tangga 32 daripada 189 negara yang terbabit dalam kajian itu.

Saibani Muhamad, 30, seorang eksekutif akaun menunjukkan betapa e-Khidmat telah sebati dengan kehidupan sehariannya. Beliau mula berjinak-jinak dengan e-Khidmat sejak tiga tahun lalu melalui urusan perbankan dalam talian.

Dari situ beliau beralih ke khidmat e-Lodgment Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Setahun yang lepas, beliau memperbaharui insurans kereta dan cukai jalan secara talian.

“Saya telah menggunakan khidmat secara talian untuk melaksanakan pemindahan wang, bayar bil utiliti dan membuat bayaran ansuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan membeli-belah,” katanya.

Saibani amat menggalakkan orang ramai supaya beralih kepada e-Khidmat yang terbukti telah memudahkan urusan hidupnya.

Bagi seorang penganalisis dari Kajang, Johan Kasturi, 27, dia bersetuju bahawa e-Khidmat telah banyak memudahkan kehidupan.

“Dengan pengenalan khidmat secara talian, apa yang saya perlu lakukan adalah mengikut beberapa langkah mudah yang dapat dibuat dalam masa beberapa minit sahaja. Lantaran kesemuanya dilakukan dari rumah, ia sangat berkesan dari segi kos,” jelasnya.

Terdapat portal-portal dalam talian, yang membantu rakyat Malaysia untuk menjalankan transaksi bersama pelbagai agensi kerajaan kesemuanya melalui satu portal. Rilek e-Services (www.rilek.com.my) dan MyEG Services Berhad (www.myeg.com.my) adalah dua contoh jelas.

Bagi sebahagian rakyat Malaysia, faktor-faktor yang menghalang mereka daripada menggunakan e-Khidmat adalah kurangnya kesedaran dan isu-isu keselamatan, menyangka ia membabitkan prosedur rumit dan kurangnya keyakinan dalam transaksi secara talian.

Ada pula yang tidak pandai menggunakan teknologi atau takut untuk mendedahkan identiti sebenar mereka dalam Internet.

“Saya melakukan transaksi secara dalam talian pertama saya beberapa tahun yang lepas dan meneruskannya sejak itu. Hari ini, transaksi secara talian adalah lebih selamat berbanding tiga atau empat tahun lepas.

“Institusi kewangan telah banyak melabur masa dan wang menambah baik pengalaman pelanggan dan dalam meningkatkan tahap keselamatan transaksi dalam talian,” tambah Johan.

Menggunakan portal web adalah semudah A-B-C. Setiap laman menawarkan maklumat yang mencukupi dan hala tuju yang jelas untuk mendaftar serta menggunakan khidmat-khidmat yang ditawarkan.

Para pengguna juga mudah mengenal pasti pilihan tindakan. Itu membantu memastikan ketepatan dan kepercayaan terhadap maklumat yang dikemukakan yang seterusnya membawa kepada kelancaran transaksi.

Bayaran bil

Satu tinjauan rambang terhadap portal-portal e-Khidmat menunjukkan trafik pelayaran dan daftar masuk yang tinggi di portal Polis Diraja Malaysia (PDRM). Catatan itu adalah kerana orang ramai sering melawat portal itu bagi menyemak saman mahupun mengambil kesempatan daripada inisiatif diskaun saman PDRM.

Sementara itu, khidmat yang ditawarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah seperti menyemak mata demerit Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA), memperbaharui lesen memandu, cukai jalan, insurans dan memohon lesen L.

Khidmat portal Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula membolehkan pengguna melakukan bayaran bil secara dalam talian sementara portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu orang ramai menyemak dan membayar cukai taksiran dan yuran pelbagai lesen.

Portal Jabatan Imigresen turut tidak terkecuali menawarkan konsep e-Khidmat. Laman itu membenarkan orang ramai memperbaharui permit kerja pembantu rumah.

Lebih menarik, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), melalui portalnya menawarkan penggantian MyKad yang boleh siap dalam masa 24 jam!

Malaysia disenaraikan di tangga ke-16 dunia bagi pembangunan khidmat secara talian dan transaksi secara talian yang semakin sebati dengan gaya hidup rakyat Malaysia.

Ia membantu mengurangkan kos yang tidak perlu, menjimatkan masa dan lebih penting lagi membolehkan pengguna menjalankan transaksi mengikut keselesaan mereka.

– Bernama

Facebook Ditutup?


Tanggal 15 Mac 2011, satu tarikh yang dibimbangi oleh sebahagian besar daripada lebih 600 juta penduduk di seluruh dunia.

Masakan tidak apabila dunia kini sedang hangat memperkatakan mengenai laman sosial paling popular Facebook kononnya akan menamatkan riwayatnya pada hari tersebut.

Semuanya bermula daripada laporan akhbar Weekly World News kononnya pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, 27, sedang berhadapan dengan tekanan untuk menguruskan laman web itu.

Zuckerberg dilaporkan berkata, laman sosial itu sudah di luar kawalan beliau sehingga memberikan tekanan dalam menguruskan syarikat dan mengganggu kehidupannya.

“Saya perlu menghentikannya bagi mengelakkan tekanan ini,” katanya pada sidang media di luar pejabatnya di Palo Alto baru-baru ini.

Dakwaan itu berlarutan apabila Zuckerberg dikatakan dalam satu temuramah menerusi telefon berkata, secara peribadi beliau tidak menganggap bahawa penutupan Facebook itu adalah satu keputusan besar.

“Secara jujur, ia (menutup Facebook) adalah untuk kebaikan. Tanpanya, orang ramai akan keluar dan berjumpa dengan rakan-rakan. Itu adalah lebih baik.

“Saya tidak kisah mengenai wang. Saya hanya mahu kehidupan saya semula,” Zuckerberg dipetik sebagai berkata sehingga membimbangkan pengguna Facebook di seluruh dunia.

Naib Presiden Perhubungan Teknikal Facebook, Avrat Humarthi dalam satu laporan lain pula dipetik berkata bahawa pengguna tidak lagi dapat memasuki Facebook pada 15 Mac ini.

“Seluruh laman web ini akan ditutup pada tarikh itu. Jika anda tidak mahu gambar-gambar di Facebook hilang, saya menasihatkan supaya anda menyimpannya sebelum laman itu ditutup,” jelas Avrat.

Sehubungan itu, Facebook mencadangkan penggunanya supaya memindahkan semua maklumat peribadi daripada laman web itu sebelum 15 Mac.


Kenyataan Kumpulan Data Facebook dalam profailnya yang memaklumkan bahawa tiada memo setakat ini bahawa laman sosial itu akan ditutup pada 15 Mac.


Selepas tarikh tersebut semua gambar, nota, pautan dan video di laman sosial berkenaan akan dipadamkan selama-lamanya.

Satu lagi fenomena

Jika hendak diikutkan banyak khabar angin memperkatakan tentang Facebook akan ditutup termasuk perdebatan mengenainya, sekurang-kurangnya sejak setahun lalu.

Wujud satu kumpulan dengan beraninya menubuhkan akaun di dalam Facebook sendiri yang dinamakan Shut Down Facebook (tutup Facebook).

Kumpulan itu menyediakan petisyen bagi memboikot Facebook namun akaun tersebut tidak aktif dan hanya mampu menarik perhatian kira-kira 200 orang ahli.

Pun begitu, penutupan Facebook pada 15 Mac ini terus menjadi sebutan yang dilihat sekadar khabar angin kerana masih belum ada kenyataan rasmi mengenainya.

Penafian daripada Kumpulan Data Facebook sedikit sebanyak menjawab persoalan dan kebimbangan sebahagian daripada lebih 600 juta pengguna laman sosial itu.

“Kami tidak mendapat memo untuk menutup (Facebook) maka kami akan terus bekerja seperti selalu. Kami tidak ke mana-mana kerana kami baru hendak bermula,” kenyataan mereka yang menarik perhatian lebih 71,550 pengguna dan 13,188 komen.

Kenyataan tersebut barangkali menggembirakan pengikut setia laman sosial itu namun belum diketahui selama mana tempoh perkhabaran itu dan kesahihannya.

Jika anda menaip perkataan ‘Facebook will shutdown’ (Facebook akan ditutup) di enjin carian Google yang menyaksikan lebih 35 juta butiran berkaitan.

Banyak kontroversi lain membabitkan Facebook sehingga ia dikenakan sekatan akses di beberapa negara seperti Pakistan, Vietnam, Uzbekistan, Syria dan Bangladesh.

Satu lagi laman web sosial menyerupai Facebook diperkenalkan bagi mewujudkan kesejahteraan hidup orang Muslim tanpa sebarang penghinaan ke atas Islam.

Sekumpulan rakyat Pakistan membinanya dengan nama Millatfacebook pada Mei tahun lalu selepas salah seorang pengguna Facebook menganjurkan satu pertandingan ‘Hari Melukis Gambar Nabi Muhammad’.

Paling popular

Tidak dinafikan antara pengguna Facebook sudah ketagih, sanggup menghabiskan masa berjam-jam melayani kepuasan dan keseronokan dengan laman sosial itu.

Facebook bukanlah satu-satunya laman sosial kerana terdapat juga yang lain seperti Friendster dan Myspace, masing-masing ditubuhkan pada 2002 dan 2003.

Namun kelahiran Facebook pada 2004 telah mencetuskan nadi baru dalam jaringan sosial maya sehingga berjaya menarik minat pengguna Friendster dan Myspace.

Keputusan Zuckerberg untuk menutup Facebook pada 15 Mac ini masih menjadi tanda tanya di kalangan pengguna laman sosial itu.

Zuckerberg selaku pengasas Facebook sudah pun menyuarakan bahawa beliau tidak kisah tentang wang meskipun laman sosial itu adalah aset paling bernilai.

Facebook kini bernilai 32 bilion pound (RM153.98 bilion) menjadikan kedudukan beliau meningkat daripada tangga 212 ke 40 dalam senarai bilionair Forbes.

Populariti Facebook turut diangkat sebagai kisah di layar perak yang bertajuk Social Network pada tahun lalu arahan David Fincher.

Facebook juga mencetuskan fenomena di Malaysia apabila menjadi laman web paling popular di negara ini pada bulan Disember lalu.

Berdasarkan rekod Persatuan Digital Malaysia (MDA), ia menduduki tangga pertama disusuli laman web antarabangsa lain seperti Yahoo, Google, YouTube dan MSN.

Kedudukan 30 laman web antarabangsa paling popular di Malaysia turut menyenaraikan beberapa laman web sosial lain iaitu Tagged (11), Myspace (18) dan Friendster (20).

Kini terdapat lebih 7.5 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia menjadikan kedudukannya negara ke-16 pengguna Facebook paling aktif di dunia.

Namun bagaimana dengan nasib dan reaksi mereka selepas Facebook ditutup?

Nantikan kebenaran gimik paling popular di dunia menjelang 15 Mac ini. Dunia akan menyaksikan taktik paling berjaya Facebook dalam usahanya menaikkan lagi rating popularitinya.

- MSTAR